Latar belakang Pengepungan_Rom_(537-538)

Wilayah Afrika kini menjadi milik Empayar Rom Timur setelah tamatnya Perang Vandal dan Belisarius telah pulang ke Constantinople untuk menyambut kejayaannya. Sementara itu, kapten Belisarius iaitu Solomon sedang menentang pemberontakan yang dicetuskan oleh puak Berber tempatan. Pada awal tahun 535, Solomon meraih kemenangan di Mont Bourgaon tetapi pemberontakan tersebut telah menyala sehingga dua dekad berikutnya. Kerajaan Ostrogoth yang menguasai Itali berada dalam kancah perang saudara. Konflik ini berlaku antara sekutu kepada Maharaja Justinian, Amalasuntha dan sepupunya iaitu Theodahad. Kemenangan berpihak kepada Theodahad. Pembunuhan Amalasuntha pada tahun 535 telah dijadikan sebagai alasan oleh Rom sebagai penyebab pepeperangan. Pada masa itu, Justinian menghantar dua pasukan tentera. Jeneral Mundus akan melakukan serangan dari Balkan untuk bertarung dengan tentera Ostrogoth manakala Belisarius bersama dengan 7,000 tentera akan mara dari selatan Itali. Belisarius berjaya menguasai Sicily pada penghujung tahun 535. Beliau seterusnya akan mara menembus ke wilayah Itali tetapi tentera-tentera Rom di Afrika melancarkan pemberontakan yang diketuai oleh Stotzas gara-gara kelewatan pembayaran upah sekali gus memaksanya untuk kembali ke Carthage. Belisarius hanya mempunyai kira-kira 2,000 tentera untuk berhadapan dengan 8,000 pemberontak tetapi beliau dengan pantasnya merebut inisiatif dan menewaskan semua pemberontak.

Pada lewat musim bunga tahun 536, tentera Rom akhirnya berjaya mara ke Itali dan mengambil alih Regium. Belisarius tidak menghadapi sebarang penentangan sehinggalah apabila beliau sampai ke Naples yang dilindungi oleh garison tentera yang besar. Pengepungan pun bermula tetapi salah seorang daripada tentera Rom telah menemui satu lubang yang terdapat di aqueduct kota. Lubang tersebut terus diperlebar dan seramai 600 orang tentera menyerbu kota itu sekali gus menamatkan pengepungan selama 20 hari. Kekalahan ini telah menjurus kepada pembunuhan Theodahad dan digantikan oleh Raja Goth baru, Vitiges. Tidak lama kemudian, Vitiges mengumpulkan angkatan tentera yang besar di sekitar ibu kota kerajaannya, Ravenna. Belisarius pula sedang berarak menuju ke Rom.

Penduduk kota Rom dilihat menyokong Belisarius dan seramai 4,000 garison Goth di dalam kota merasakan kedudukan mereka akan goyah lalu meninggalkan Rom melalui Pintu Ferminia. Belisarius memasuki kota Rom pula melalui Pintu Assanaria pada malam 9 Disember 536. Perkara ini menandakan Rom menjadi milik Empayar Rom sekali lagi. Oleh kerana beliau juga telah meletakkan garison di beberapa buah kota lain, Belisarius hanya mempunyai kira-kira 5,000 tentera dan kebanyakan daripadanya ialah pengawal unitnya. Beliau memulakan persiapan untuk menghadapi pengepungan yang akan berlanjutan. Kubu pertahanan telah diperbaharui, parit yang baru digali manakala gandum disimpan.